Piagam

PIAGAM MASTERA

1. Mukadimah

1.1. Hasil kesusasteraan di negara-negara Asia Tenggara, terutama di negara-negara kepulauan Melayu, berkembang sendiri-sendiri setelah setiap negara mencapai kemerdekaan. Ikatannya hanya pada media pengucapannya, iaitu bahasa Melayu/Indonesia.

1.2. Atas kesadaran sebagai bangsa serumpun yang mendiami wilayah ini, usaha-usaha merapatkan perhubungan di antara para sastrawan telah dimulai sejak tahun 1973. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) telah menyelenggarakan Seminar Kesusastraan Nusantara pada tahun tersebut. Sejak tahun 1977 kegiatan ini diikuti oleh serangkai Nusantara sejak tahun 1977 yang diadakan secara bergilir-gilir di Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam. Ikut serta dalam setiap pertemuan ini ialah penulis-penulis dari Thailand dan Filipina. Hasil daripada kegiatan ini, badan-badan bahasa dan sastera bukan kerajaan atau pemerintah telah menubuhkan Majlis Sasterawan Nusantara pada tahun 1994. Malaysia (melalui GAPENA) telah diberi amanah untuk menjadi Sekretariat Majlis tersebut.

1.3. Sejajar dengan kerjasama erat dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan pembangunan lain amnya, maka difikirkan amat perlu diwujudkan juga satu badan khusus kesusasteraan bagi memantapkan lagi kemesraan dan keharmonian serantau yang sedia terjalin. Untuk itu semua negara di rantau ini hendaklah menganggotai badan atau majlis ini. Melalui aktiviti dan kerjasama kesusasteraan kebangsaan dari semasa ke semasa di kalangan ahli maka hubungan ini akan dapat dipereratkan lagi.

1.4. Usaha-usaha pengembangan sastera peringkat wilayah ini harus ditangani secara lebih konkrit oleh pihak Kerajaan/Pemerintah di negara-negara berkenaan. Majlis milik Kerajaan/Pemerintah nanti, akan dapat mengarahkan segala kegiatan pemasyarakatan, apresiasi, penyelidikan dan penerbitan hasil sastera rantau ini kepada suatu matlamat yang cuba dituju secara bersama..

2. NAMA

2.1. Sesuai dengan hasrat untuk menjadi wadah bagi perbincangan permasalahan sastera secara bersama, majlis ini dinamakan Majlis Sastera Asia Tenggara ringkasnya MASTERA dan nama Inggerisnya, South-east Asia Literary Council. Pada peringkat permulaannya majlis ini akan diselenggarakan dahulu oleh tiga negara pendiri iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

2.2. MASTERA telah diputuskan sebagai sebuah majlis serantau yang mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok iaitu negara pendiri, negara ahli dan negara pemerhati.

3. TUJUAN

3.1. Merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa.

3.2. Menyelaraskan kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan serantau secara bersepadu.

3.3. Mengusahakan peluang-peluang bersama untuk para sasterawan emajukan bakat, penterjemahan, penerbitan dan pengiktirafan terhadan pencapaian mutu ciptaan sastera.

3.4. Berusaha bersama memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa utama rantau ini sebagai alat komunikasi, media ilmu pengetahuan dan media pengucapan seni ke peringkat rantau dan antarabangsa.

4. KEGIATAN

4.1. Merancang dan melaksanakan kegiatan sastera dan penyelidikan sastera di negara-negara anggota secara bersepadu.

4.2. Merancang dan melaksanakan secara bergilir program-program bengkel penulisan karya sastera untuk para sasterawan muda berpotensi di negara-negara anggota.

4.3. Mengusahakan peluang penerbitan di setiap negara bagi karya pengarang-pengarang terkemuka di negara-negara anggota agar dapat disebarluaskan kepada khalayak sastera antarabangsa.

4.4. Mengusahakan dana dan melaksanakan skim Anugerah (yang namanya akan ditentukan) bagi mengiktiraf para sarjana sastera berkaliber tinggi dalam bahasa utama rantau ini.

4.5. Mengusahakan penerbitan majalah atau jurnal yang akan menampung hasil karya para pengarang di samping mengusahakan penerbitan risalah sebagai pusat pengumpulan maklumat dan sumber penyebaran maklumat kegiatan kesusasteraan di negara-negara berkenaan.

4.6. Meningkatkan usaha melancarkan urusan lalu lintas pengedaran dan pemasaran penerbitan buku dan majalah di kalangan negara-negara anggota.

4.7. Mengadakan kerjasama dengan pusat-pusat Pengajian Kesusasteraan Asia Tenggara seluruh dunia untuk mengantarabangsakan hasil kesusasteraan rantau ini.

5. KEANGGOTAAN

5.1. Pada peringkat awalannya,majlis ini dianggotai oleh wakil tiga negara pendiri:
a. Brunei Darussalam (Diwakili oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei)
b. Indonesia (Diwakili oleh Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Indonesia)
c. Malaysia (Diwakili oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia)

5.2. Majlis mengundang wakil dari organisasi negara Singapura, Thailand, Filipina, dan Vietnam; dan akan mengundang kemudiannya wakil-wakil dari organisasi yang sama di negara-negara Kemboja, Laos dan Myanmar.

6) PENTADBIRAN MAJLIS

A) Peringkat Negara:
1. Majlis akan diuruskan oleh sebuah Urus Setia di setiap negara yang pentadbirannya akan diuruskan oleh:
(a) Pengerusi
(b) Timbalan Pengerusi
(c) Setiausaha
(d) Lima Ahli Jawatankuasa yang mewakili:
(i) Bidang Sastera Tradisional
(ii) Bidang Sastera Moden
(iii) Bidang Sastera Bandingan
(iv) Penulis Kreatif
(v) Persatuan Penulis Peringkat Nasional.

2. Jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha disandang oleh tenaga dalaman organisasi yang menjadi anggota majlis. Lima ahli jawatankuasa, apabila diperlukan, boleh dipilih dari dalam atau luar organisasi sebagai mewakili para pakar sastera.

B) Peringkat Rantau;
1. Majlis ini akan diuruskan oleh sebuah Urus Setia di Peringkat Rantau, terdiri daripada:
(a) Pengerusi
(b) Dua Timbalan Pengerusi
(c) Setiausaha
(d) Empat wakil setiap negara:
(i) Pengerusi
(ii) Setiausaha
(iii) Pakar Sastera
(iv) Wakil Badan Bukan Kerajaan/Pemerintah

2. Jawatan Pengerusi dan dua Timbalan Pengerusi Peringkat Rantau disandang secara bergilir-gilir selama dua tahun oleh Pengerusi Peringkat Negara dari kalangan negara pendiri. Jawatan Setiausaha dilantik oleh Pengerusi.

C) Urus Setia Tetap:
1. Urus Setia Tetap Majlis diletakkan di Malaysia di bawah pentadbiran Dewan Bahasa dan Pustaka dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarahnya.

7. MESYUARAT MAJLIS

7.1. Untuk membincangkan projek-projek majlis dan menyelaraskan kegiatan sastera di negara-negara anggota, majlis akan mengadakan mesyuarat tahunan secara bergilir. Setiap negara anggota akan menghantar empat (4) orang wakil.

7.2. Untuk melancarkan kegiatan majlis, Jawatankuasa Kecil akan dilantik untuk mengadakan mesyuarat kerja menurut keperluan semasa di negara yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.

7.3. Pada setiap mesyuarat tahunan, urus setia tuan rumah akan menyediakan laporan tahunan untuk keperluan ahli-ahli.

8. KEWANGAN

8.1. Peruntukan kewangan untuk membiayai majlis disediakan oleh setiap negara anggota.

8.2. Untuk membiayai projek besar, dana boleh juga dimohon daripada Kerajaan/ Pemerintah dan pihak swasta yang sesuai.