MASTERA atau Majlis Sastera Asia Tenggara dipersetujui pada asasnya oleh tiga Negara Pendiri (Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia) dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995, yang diwujudkan untuk bidang sastera.
Penubuhan MASTERA telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Datuk Khalid Yunus sempena Majlis Pelancaran MASTERA dan Sidang Pertama MASTERA di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala lumpur pada 12 Ogos 1996. Majlis tersebut telah disaksikan oleh wakil-wakil dari negara Singapura, Thailand, Filipina, dan Vietnam. Pada hari bersejarah tersebut juga rancangan lima tahun kegiatan MASTERA (1996-2000) telah dibincangkan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga Negara Pendiri.
MASTERA telah diputuskan sebagai sebuah majlis serantau yang mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok, iaitu Negara Pendiri, Negara Anggota dan Negara Pemerhati. MASTERA kini dianggotai oleh negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Negara Singapura telah menjadi negara anggota pada tahun 2012. Majlis menandatangani Perisytiharan Bersama oleh negara Singapura telah diadakan dalam Sidang ke-18 MASTERA pada 17 Oktober 2012 di Kuala Lumpur. Thailand pula secara rasminya menjadi negara anggota MASTERA pada 18 September 2014. Majlis menandatangani Perisytiharan Bersama telah diadakan semasa Majlis Pembukaan Sidang Ke-20 MASTERA di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, Negara Brunei Darussalam.