Tatakerja

TATAKERJA

Untuk mencapai tujuan yang termaktub dalam Piagam MASTERA dan untuk menjalankan fungsinya dengan sebaik-baiknya, ketiga-tiga pihak negara pendiri bersetuju menerima tatakerja yang berikut:

1. KEANGGOTAAN

1.1. Majlis beranggotakan MASTERA Malaysia, MASTERA Indonesia, dan MASTERA Brunei Darussalam sebagai pendiri; negara lain di Asia Tenggara sebagai ahli atau pemerhati.

2. PERSIDANGAN

2.1. Majlis bersidang sekali setahun di negara pendiri secara bergilir-gilir dengan jarak waktu sepuluh hingga dua belas bulan dan lamanya kira-kira tiga hari.
2.2. Tempat dan waktu Sidang Majlis ditentukan pada Sidang sebelumnya.
2.3. Sidang Majlis diselenggarakan oleh tuan rumah dan dipengerusikan oleh pengerusi semasa.
2.4. Bahasa rasmi persidangan Majlis ialah Bahasa Melayu/Indonesia.
Bahasa-bahasa lain dibolehkan dengan syarat pihak penganjur atau negara ahli/pemerhati menyediakan enterjemah ke dalam bahasa rasmi persidangan.
2.5. Persidangan Majlis terbahagi kepada dua, iaitu Sidang Majlis, dan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil.
2.6. Sidang Majlis menentukan hal-hal dasar, mengesahkan perkara yang berkenaan dengan hala tuju kegiatan sastera, hasil kerja Panel Peneliti serta rencana kerja Majlis selanjutnya.
2.7. Mesyuarat Jawatankuasa Kecil mempunyai hak dan tugas sebagai berikut:
2.7.1. Menentukan tatakerja dan pelaksanaan kerja Majlis.
2.7.2. Merancang pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan sastera.
2.7.3. Mempertimbangkan dan meluluskan projek yang dicadangkan oleh negara-negara ahli.
2.7.4. Menyelenggarakan kegiatan kesusasteraan yang telah diluluskan oleh Sidang Majlis.
2.7.5. Membuat sokongan ke atas sesuatu projek yang bermanfaat dilaksanakan oleh MASTERA.
2.7.6. Mengarahkan kegiatan penelitian.

3. PESERTA SIDANG

3.1. Peserta Sidang Majlis terdiri daripada Ketua, Wakil Ketua, Setiausaha semua ahli Jawatankuasa, dan pemerhati.
3.2. Peserta Mesyuarat Jawatankuasa Kecil terdiri daripada Ketua Perwakilan, Setiausaha, dan dua orang daripada tiap-tiap MASTERA negara pendiri atau negara ahli.
3.3. Peserta Panel Peneliti terdiri daripada pakar bidang yang diikutsertakan.
3.4. Pemerhati terdiri daripada anggota perwakilan yang tidak menjadi anggota Panel Peneliti, wakil rasmi negara bukan anggota negara terdiri dan/atau badan rasmi yang menghadiri Sidang atas undangan Majlis.
3.5. Pemerhati mempunyai hak suara tanpa hak undi.

4. BAHAN PERSIDANGAN

4.1. Bahan persidangan disiapkan oleh jawatankuasa negara penyelenggara.
4.2. MASTERA negara pendiri lain mengirimkan bahan persidangan selambat-lambatnya sebulan sebelum Sidang Majlis berlangsung.

5. KEPUTUSAN MAJLIS MENGANDUNGI PERKARA-PERKARA BERIKUT:

5.1. Keputusan Umum yang ditandatangani oleh para Ketua Perwakilan negara pendiri.
5.2. Lampiran keputusan umum yang berupa keputusan, rumusan, dan bahan dokumentasi.
5.3. Butir lain yang berkenaan dengan Sidang Majlis seperti daftar nama perwakilan dan jadual acara Sidang.
5.4. Ucapan Tetamu Kehormat Majlis dan Ketua Perwakilan sebagai lampiran.